Seumpama rama-rama
Terbang bebas di udara
Tanpa ada halangan
Aman damai suka-suka
Riang ria tanpa ada rasa duka sengketa
Rama-rama
Ekspresi dirimu menawan hatiku
Ingin aku terbang bersamamu
Melihat kerenah
Melihat telatah….. manusia
Yang sering telagah
Ekspidisi ini
Bagai tiada henti
Kan menjadi antologi diri
Terhentilah mimpi
Terhapuslah sepi
Sanubari yang lebih berani
Terminal yang pasti
Satu fitrah hati
Kerna yang sejati tiada kekal lagi
terbanglah ke sini mencari abadi
Terbanglah ke mari mencari hakiki
Seumpama rama-rama
Melewati panorama yang penuh
Warna warni
Taman bunga taman damai
Dengan aksi lincah berputik
Hidup yang harmoni
Rama-rama…
Rama-rama?
Lagu ini bertajuk rama-rama, iaitu sejenis serangga yang cantik yang
bersayap dan boleh terbang. Rama-rama sering dikaitkan dengan
kupu-kupu, ada yang mengatakan kupu-kupu dan rama-rama sama dan ada
yang berpendapat sebaliknya. Teringat semasa disekolah menengah dan
matrikulasi, saya pernah belajar mengenai kitar hidup rama-rama,
bagaimana rama-rama hidup dalam suatu kitar yang dinamakan
metamorfosis. Metamorfosis bermula dengan telur, larva(ulat bula), pupa
dan akhirnya menjadi imago(rama-rama). Kitaran hidup rama-rama ini agak
menarik untuk kita perhatikan secara bersama. Pada permulaannya, telur
akan mengeluarkan ulat bulu yang kelihatan hodoh yang hanya boleh
merayap dipokok-pokok, dan hanya mampu memakan daun-daun. Sampai suatu
masa ulat bulu akan menjadi pupa atau dengan bahasa mudahnya menjadi
kepompong dan bersiap untuk menjadi rama-rama. Setelah sampai suatu
tempoh, akhirnya keluarlah rama-rama yang cantik. Hebat dan indah
bukan? Semua ini mengingatkan kita mengenai kebesaran dan kehebatan
Allah selaku Maha Pencipta dan Maha Berkuasa keatas sesuatu.
Ulasan
Berbalik kepada lirik lagu, ada beberapa pengajaran atau ulasan yang
boleh kita keluarkan. Pada rangkap pertama menyebut mengenai tabiat
hidup rama-rama yang dilihat manusia sebagai hidup bebas terbang dengan
aman damai dan gembira tanpa ada musuh atau masalah. Sunnah kehidupan
manusia yang hidup dengan pelbagai dugaan dan cabaran, serta amanah
sebagai khalifah di muka bumi ini. Serangga, haiwan dan tumbuh-tumbuhan
seringkali digunakan oleh penyair dan seniman dalam menggambarkan
kehidupan manusia sama ada dalam bentuk misalan atau harapan, bahkan
Allah S.W.T juga ada menyebut mengenai serangga, haiwan dan tumbuhan di
dalam Al-Quran sebagai peringatan atau pengajaran bagi manusia yang
beriman kepada-Nya.
Rangkap kedua lagu ini pula menceritakan keinginan penulis lirik untuk
bersama-sama seperti rama-rama, ingin hidup bebas aman damai, jauh dari
segala masalah. Rangkap kedua ini juga mengatakan akan keinginan untuk
bebas dari gelagat atau telatah manusia yang sering bermusuhan dan
bertelagah, menjadi rama-rama dan melihat dengan pandangan sang
rama-rama.
Rangkap ketiga menceritakan mengenai kehidupan yang mempunyai
perjalanan yang amat panjang dan penuh berliku-liku. Kehidupan adalah
suatu perjalanan panjang yang perlu dilalui oleh setiap manusia dengan
betul supaya kelak akhirnya sampai ke matlamat yang benar menuju alam
akhirat yang kekal abadi. Setiap angan-angan atau impian yang kosong
atau tiada matlamat perlulah dijauhkan supaya kehidupan tidak tersasar
ke jalan yang sesat. Untuk itu, panduan Al-Quran dan As-sunnah perlu
digunakan dalam menempuh perjalanan hidup ini.
Rangkap keempat menerangkan mengenai kehidupan di dunia hanyalah
sementara dan tidak kekal. Oleh itu, perlulah mempersiapkan diri dengan
bekalan amal soleh supaya dapat menempuh kehidupan akhirat dengan
selamat dan diredhai Allah. Untuk tujuan itu, setiap manusia perlulah
mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan dengan agama dan akhirat
bagi memastikan arah dan perjalanan hidup didunia ini benar dan tidak
menyeleweng.
Rangkap kelima dan terakhir menceritakan kehidupan rama-rama yang hidup
diatas muka bumi ini dengan pelbagai rintangan hingga akhir hayat.
Manusia juga perlu mengharungi pelbagai ujian dan cabaran hidup didunia
dengan cara yang benar sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah
S.A.W berdasarkan petunjuk wahyu yang diberikan oleh Allah S.W.T.
Penutup
Kehidupan adalah suatu jalan yang amat panjang dan mencabar. Oleh itu,
perlu ada panduan supaya dapat menuntun kita mengikut jalan yang
sebenarnya seperti yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. Tulisan ini
hanyalah suatu lontaran dalam mengaitkan kehidupan dengan Pencipta
kehidupan dalam rangka untuk memperkukuhkan lagi keimanan kepada Allah
selaku Tuhan Yang Maha Esa. Ana mohon maaf jika ada kekurangan atau
kesalahan dalam tulisan ana pada kali ini. Semoga apa
yang cuba ana sampaikan ini memberikan manfaat kepada kita bersama.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment